Akal sebagai kemudi...

Posted by fasihah | Posted in | Posted on 9:31 PM




Bayangkan bagaimana hidup manusia jika Allah SWT menjadikan semua makhluk ciptaan-Nya berakal. Apa agaknya akan berlaku jika ternakan, tanaman dan hidupan liar di bumi boleh berfikir dalam setiap tindakan kerana semuanya berakal. Fitrahnya, akal adalah penentu dalam mencorak martabat hidup insani dan satu-satunya pembeza mutlak antara manusia dan haiwan sebagai makhluk yang sentiasa bergerak di bumi. Malah akal juga meletakkan makhluk bergelar manusia berada pada martabat termulia mengatasi malaikat atau sebagai makhluk yang lebih hina dan rendah martabatnya daripada haiwan. Lantaran itu timbul ungkapan manusia haiwani dan manusia tidak berakal atau gila angkara perbuatan dan amalan luar tabie insani yang semuanya bermula dari akal.

Namun, berapa ramai yang ‘besar akal’ atau panjang serta tinggi akalnya berbanding manusia yang pendek atau rendah serta kurang akal? Sebabnya, rendah, pendek atau kurang akal menjadi penyebab manusia dilanda pelbagai krisis dan masalah moral mahupun akidah. Lebih bahaya apabila manusia yang besar dan panjang akalnya menjadi dalang kemaslahatan gara-gara hilangnya iman dalam sanubari. Bagi menggambarkan pentingnya akal kepada manusia pula, perkataan akal dalam al-Quran berulangan sebutannya sebanyak 49 kali yang kesemuanya mengarah manusia untuk berfikir secara ‘berakal’. Namun tidak semua perkara dan benda mampu dicapai dan diterima akal, walaupun akal tetap memikirkannya.

Ini kerana akal berkait terus dengan ilmu dan menurut Prof. Syed Muhammad Naquid Al-Attas, ilmu boleh dicapai melalui tiga perkara iaitu pancaindera, khabar yang benar (berita yang tepat) dan akal, tetapi pengetahuan mustahil untuk digapai. Disebabkan besar, penting dan uniknya akal yang dianugerahkan hanya kepada manusia, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid menyarankan agar sebuah Institut Minda diwujudkan di negara ini. Malah beliau mencadangkan agar kelab-kelab minda perlu ada di semua agensi sama ada di institusi pelajaran atau pendidikan mahupun di syarikat-syarikat korporat dan badan-badan pertubuhan besar.

Ini kerana katanya, soal tentang akal dan segala yang berkaitan dengannya telah banyak difikir, dikaji dan ditulis tokoh-tokoh ilmuwan Islam silam serta para sarjana barat. “Persoalannya apakah penyelidikan, penelitian dan perbahasan mengenai ilmu akal-fikiran yang tekun wujud dalam masyarakat Melayu-Islam kita,” katanya semasa merasmikan seminar Pelbagai Martabat dan Sifat Akal Fikiran Dalam Tradisi Ilmiah Tamadun Islam di IKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Namun proses pemupukan akal, bakat dan watak individu, menurut Pengerusi Institut Pembangunan Keluarga dan Kanak-Kanak Nury, Datuk Dr. Noor Laily Abu Bakar, adalah bertahap-tahap yang bermula dari pembinaan sistem otak ketika proses kehamilan seawal 16 hari.

Menurut mantan Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) itu, usia enam tahun pertama selepas kelahiran adalah tempoh masa paling kritikal pada anak manusia. “Ketika ini sistem otak dan sistem saraf menjadi perdana menteri yang akan memerintah otak seseorang anak melalui simulasi hidupan persekitarannya. “Jika ibu yang baik dan mengamalkan tuntutan-tuntutan al-Quran dan al-Sunnah pada anaknya, akan terbentuklah baka anak yang baik,” katanya. Menurut Dr. Noor Laily, syarat lain dalam memacu pembentukan akal berdaya fikir anak ialah bekalan oksigen terbaik, emosi yang positif serta sumber makanan yang baik lagi halal di samping simulasi yang tepat dan betul secara berulangkali dengan penjagaan kesihatan yang sempurna. “Sebab itu Islam menetapkan empat sebab untuk manusia membuka mulut (bersuara) iaitu mengenai ilmu, silaturahim, pernyataan kasih sayang dan melafazkan kesyukuran,” ujarnya.

Comments (1)

Cik fasihah..blog ni dah tahun 2010....

Post a Comment