Di Manakah PEMUDAKU?

0

Posted by fasihah | Posted in | Posted on 9:40 PM


Assalamualikum w.b.t
Salam Sejahtera….

Berhenti sejenak…berfikir seketika…
Impuls masih merambat ke segenap pelusuk saraf, kadang-kadang singgah seketika di nodus-nodus utama, tanpa rasa lelah, meneruskan lagi perjalanan sebagai penyampai berita. ‘Lup dup’ ‘lup dup’, “oh, alhamdulillah aku masih lagi diberi nikmat nyawa!”.

Jika kita cuba meredah jagatraya, saya yakin di sana tidak pernah sunyi dengan ledakan semangat pemuda. Ada saja yang ingin ditransformasi, sentiasa muncul dengan pemikiran baharu dek kerana mereka memiliki nikmat kudarat yang masih gagah, akal yang cergas serta diselubungi dengan roh perjuangan yang sangat tinggi.

Jika berikan sebuah basikal sekalipun kepada mereka, adakah kita dapat menjangka keadaan yang bakal berlaku selepas itu? Berkemungkinan satu unit kapal angkasa yang beroda bakal berlegar di ruang galaksi, atau boleh jadi juga sebuah tukun lama yang layak bersemadi bersama terumbu karang di bawah sana.

Begitulah pengakhiran bagi sebuah basikal tadi. Segalanya bakal berlaku akibat tangan-tangan pemuda samaada kesudahan yang baik atau buruk. Pemuda perlu menggunakan semaksima mungkin aset kelebihan yang mereka ada ke arah yang betul. Mulakan dengan mengenalpasti titik fokus. Pemuda perlu hebat dalam membuat percaturan, perlu sentiasa rancak dengan strategi yang memberangsangkan, dan seterusnya jangan ragu untuk mencipta langkah pertama bagi meraih matlamat yang diidamkan dengan pergantungan disandarkan kepada Yang Maha Kuasa.


Adakah kita bakal mengformulakan kapal angkasa beroda yang kedua atau meneruskan tradisi penghasilan tukun-tukun lama? Kita yang lebih berhak membuat pilihan…Jika masih lagi tergantung tanpa jawapan, malulah kita kepada nadi yang sejak dari tadi beraksi.