Ketika Cinta Bertasbih

1

Posted by fasihah | Posted in | Posted on 10:37 PM

http://www.youtube.com/?v=tXHsMf3g7Sw

Ketika Cinta Bertasbih

Blogged with the Flock Browser

REALITI vs FANTASI

1

Posted by fasihah | Posted in | Posted on 9:08 PM


Izinkan roh pemikiran mahasiswa ini didengari!

Tika layar perak gah mengangkat tirainya, aktor-aktor seni akan mempamerkan aksi mereka. Bakat mereka memang tidak boleh disangkal lagi. Mereka beraksi seperti singa lapar yang sedang membaham mangsa, sungguh bersemangat. Pentas dijadikan medan luahan hati para aktivis seni. Segala ragam kehidupan diadaptasikan di sini. Amat menakjubkan.

Para penonton berjaya dipukau. Jiwa mereka diterjah dengan pelbagai perasaan. Sedih, gembira, hiba, seram, suspen dan segalanya digaul sebati dalam satu jiwa. Inilah yang dinamakan sebagai panahan fantasi. Saya percaya anda juga pernah berada dalam situasi tersebut. Tidak cukup dengan pengalaman ketika menonton, jiwa teruja tadi turut dicanang kepada kenalan terdekat. Bertapa hebatnya penguasaan cerita itu.

Persoalannya di sini, adakah cerita itu layak dinobatkan sebagai sebuah cerita yang berkualiti? Saya beranggapan anda lebih arif untuk membuat penilaian. Memang tidak dinafikan bahawa, sebuah cerita yang unggul juga dinilai dari sudut jalan cerita, kaedah penyampaian serta teknologi grafik. Satu perkara yang sering terlepas pandang adalah penerapan nilai insaniah yang bakal dipertontonkan.

Amat menghampakan apabila penerapan akhlak yang mulia tidak dititikberatkan. Alasannya, cerita yang kurang mengandungi kontroversi sukar mencuri hati para penonton. Mereka menganggap pakaian menjolok mata, aksi kurang sopan, pergaulan bebas yang terlampau adalah aset utama sesebuah cerita. Adakah pengarang kehabisan idea sehingga sanggup mengutip sentimen-semtimen murahan supaya mendapat tempat di hati penonton. Hasilnya, sebuah masyarakat yang kurang bermoral berjaya dibentuk.

Rentetan dari itu, kita mengharapkan sensitiviti masyarakat terutamanya golongan generasi pelapis bagi melontarkan pendapat atau cadangan serta kritikan membina melalui saluran yang betul bagi memupuk kesedaran masyarakat terhadap isu ini. Anda merupakan generasi yang terdidik dengan ilmu penuh di dada, bertindaklah sebelum terlambat. Bukanlah niat kita untuk mencari kesalahan orang lain, cukup sekadar membantu membaikpulih kerompongan yang ada.

Wasalam.

KAU MASIH DI BELENGGU...

0

Posted by fasihah | Posted in | Posted on 8:52 PM


Pemikiranku, bicaraku, daya upayaku, tingkah gerakku, emosi diriku serta nawaituku masih goyah. Segalanya telah diprogramkan oleh ideologi manusia. Jejak rabbaniku sedikit kabur. Lagakku seolah-olah TERMINATOR 3, bertindak mengikut perencanaan makhluk, dan akan menjadi radikal jika dipacu sebegitu rupa. Adakah anda juga sedemikian?. Oh, malangnya!

Saudara, lakukanlah perubahan sekarang juga. Mulakan sedikit demi sedikit. Saudara adalah khazanah agama, bangsa dan negara. Bertindaklah mengikut akal berlandaskan kebenaran. Apa gunanya ilmu yang sudah lama terbendung di dada? Adakah mahu dijual kepada saya?. Maaf, saya tidak mampu membelinya kerana terlalu berharga, tidak setanding dengan wang ringgit. Jadi, amalkanlah.

Tanpa disedari, ilmu kini telah dieksploitasi oleh segolongan yang menganggap mereka adalah raja kepada dunia. Ilmu dijadikan bahan materialistik. Nilainya kini boleh ditimbang dan diasingkan mengikut pasaran. Yang bermutu di sebelah kanan manakala yang kurang berpotensi di sebelah kiri. Hal ini amat sinonim dengan suasana negara Malaysia. Ilmu telah dinilai dengan faktor ekonomi dan peluang pekerjaan. Inilah wasiat yang telah diperturunkan oleh penjajah kita dulu kala.

Dahulu ilmu bukanlah permainan utama bangsa Malaysia. Kita lebih rela turun ke sawah, mengusahakan lombong terbiar, dan membanting tulang menguruskan ladang getah pusaka. Kita seperti anak kecil yang baru belajar bertatih. Kita kurang pengalaman di medan pengkuliahan. Pihak penjajah mengambil kesempatan ini untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat kita.

Hasilnya anak-anak kini lebih fokus kepada bidang profesional kerana peluang pekerjaan yang tinggi serta diakui mampu menjamin ekonomi masa depan. Disebabkan kecenderungan itu, warga permata ini mengambil jalan singkat. Mereka belajar berdasarkan pencapaian dan angan-angan siang dan malam.

Ilmu yang dipelajari hanya bertahan sementara sahaja tanpa difahami kandungan tersirat dan gagal diaplikasikan. Inilah generasi pendokong yang dikagumi oleh ibubapa. Ini bukan bermakna kita menafikan kemajuan, tetapi lebih bermakna jika nilai ilmu tidak dipersendakan. Tidak salah untuk mencipta ’permata’ tetapi biarlah kena caranya kerana bimbang nanti ’kaca’ yang tercipta.

Cukuplah dahulu kita pernah dijajah. Akhirilah segala kesengsaraan ini dengan pancaran ilmu yang telah digilap. Nescaya, tubuh yang longgai tadi kembali teguh dengan laungan pemikiran yang bergema, mata pena yang rancak bekerja serta semangat yang tidak pernah malap. Segalanya berlaku apabila pentafsiran ilmu tidak lagi dibelenggu.

Di Manakah PEMUDAKU?

0

Posted by fasihah | Posted in | Posted on 9:40 PM


Assalamualikum w.b.t
Salam Sejahtera….

Berhenti sejenak…berfikir seketika…
Impuls masih merambat ke segenap pelusuk saraf, kadang-kadang singgah seketika di nodus-nodus utama, tanpa rasa lelah, meneruskan lagi perjalanan sebagai penyampai berita. ‘Lup dup’ ‘lup dup’, “oh, alhamdulillah aku masih lagi diberi nikmat nyawa!”.

Jika kita cuba meredah jagatraya, saya yakin di sana tidak pernah sunyi dengan ledakan semangat pemuda. Ada saja yang ingin ditransformasi, sentiasa muncul dengan pemikiran baharu dek kerana mereka memiliki nikmat kudarat yang masih gagah, akal yang cergas serta diselubungi dengan roh perjuangan yang sangat tinggi.

Jika berikan sebuah basikal sekalipun kepada mereka, adakah kita dapat menjangka keadaan yang bakal berlaku selepas itu? Berkemungkinan satu unit kapal angkasa yang beroda bakal berlegar di ruang galaksi, atau boleh jadi juga sebuah tukun lama yang layak bersemadi bersama terumbu karang di bawah sana.

Begitulah pengakhiran bagi sebuah basikal tadi. Segalanya bakal berlaku akibat tangan-tangan pemuda samaada kesudahan yang baik atau buruk. Pemuda perlu menggunakan semaksima mungkin aset kelebihan yang mereka ada ke arah yang betul. Mulakan dengan mengenalpasti titik fokus. Pemuda perlu hebat dalam membuat percaturan, perlu sentiasa rancak dengan strategi yang memberangsangkan, dan seterusnya jangan ragu untuk mencipta langkah pertama bagi meraih matlamat yang diidamkan dengan pergantungan disandarkan kepada Yang Maha Kuasa.


Adakah kita bakal mengformulakan kapal angkasa beroda yang kedua atau meneruskan tradisi penghasilan tukun-tukun lama? Kita yang lebih berhak membuat pilihan…Jika masih lagi tergantung tanpa jawapan, malulah kita kepada nadi yang sejak dari tadi beraksi.