KAU MASIH DI BELENGGU...

Posted by fasihah | Posted in | Posted on 8:52 PM


Pemikiranku, bicaraku, daya upayaku, tingkah gerakku, emosi diriku serta nawaituku masih goyah. Segalanya telah diprogramkan oleh ideologi manusia. Jejak rabbaniku sedikit kabur. Lagakku seolah-olah TERMINATOR 3, bertindak mengikut perencanaan makhluk, dan akan menjadi radikal jika dipacu sebegitu rupa. Adakah anda juga sedemikian?. Oh, malangnya!

Saudara, lakukanlah perubahan sekarang juga. Mulakan sedikit demi sedikit. Saudara adalah khazanah agama, bangsa dan negara. Bertindaklah mengikut akal berlandaskan kebenaran. Apa gunanya ilmu yang sudah lama terbendung di dada? Adakah mahu dijual kepada saya?. Maaf, saya tidak mampu membelinya kerana terlalu berharga, tidak setanding dengan wang ringgit. Jadi, amalkanlah.

Tanpa disedari, ilmu kini telah dieksploitasi oleh segolongan yang menganggap mereka adalah raja kepada dunia. Ilmu dijadikan bahan materialistik. Nilainya kini boleh ditimbang dan diasingkan mengikut pasaran. Yang bermutu di sebelah kanan manakala yang kurang berpotensi di sebelah kiri. Hal ini amat sinonim dengan suasana negara Malaysia. Ilmu telah dinilai dengan faktor ekonomi dan peluang pekerjaan. Inilah wasiat yang telah diperturunkan oleh penjajah kita dulu kala.

Dahulu ilmu bukanlah permainan utama bangsa Malaysia. Kita lebih rela turun ke sawah, mengusahakan lombong terbiar, dan membanting tulang menguruskan ladang getah pusaka. Kita seperti anak kecil yang baru belajar bertatih. Kita kurang pengalaman di medan pengkuliahan. Pihak penjajah mengambil kesempatan ini untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat kita.

Hasilnya anak-anak kini lebih fokus kepada bidang profesional kerana peluang pekerjaan yang tinggi serta diakui mampu menjamin ekonomi masa depan. Disebabkan kecenderungan itu, warga permata ini mengambil jalan singkat. Mereka belajar berdasarkan pencapaian dan angan-angan siang dan malam.

Ilmu yang dipelajari hanya bertahan sementara sahaja tanpa difahami kandungan tersirat dan gagal diaplikasikan. Inilah generasi pendokong yang dikagumi oleh ibubapa. Ini bukan bermakna kita menafikan kemajuan, tetapi lebih bermakna jika nilai ilmu tidak dipersendakan. Tidak salah untuk mencipta ’permata’ tetapi biarlah kena caranya kerana bimbang nanti ’kaca’ yang tercipta.

Cukuplah dahulu kita pernah dijajah. Akhirilah segala kesengsaraan ini dengan pancaran ilmu yang telah digilap. Nescaya, tubuh yang longgai tadi kembali teguh dengan laungan pemikiran yang bergema, mata pena yang rancak bekerja serta semangat yang tidak pernah malap. Segalanya berlaku apabila pentafsiran ilmu tidak lagi dibelenggu.

Comments (0)

Post a Comment